Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: Lebih 100 bomba dikerah padam kebakaran
Date: 22-May-2018
Category: Peat fire - Malaysia
Source/Author: Kumpulan Karangkraf
Description: Bagai berperang di medan pertempuran, seramai 120 pegawai dan anggota bomba dikerah untuk operasi memadam kebakaran hutan paya gambut di kampung Tok Arun, Santong, Paka.

DUNGUN - Bagai berperang di medan pertempuran, seramai 120 pegawai dan anggota bomba dikerah untuk operasi memadam kebakaran hutan paya gambut di kampung Tok Arun, Santong, Paka.

Bezanya musuh dan senjata sebaliknya kesemua petugas bomba bersenjatakan "Nozzle hose" serta air sebagai pelurunya.

Walau pada bulan puasa, kesemua anggota tetap menjalankan tugas dengan baik biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan halangan bagi memastikan kebakaran membabitkan hutan seluas 27 hektar itu tidak terus merebak.

Lebih 100 anggota dari seluruh balai bomba di negeri ini ditempatkan di tujuh seksyen pemadaman di lokasi kebakaran.

Operasi memadam dan mengawal api sudah masuk hari ke sepuluh serta keseluruhan kebakaran dapat dikawal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, teknik membanjirkan kawasan digunakan bagi memadam api, sekaligus menghalang api merebak.

Menurutnya, teknik tersebut bersesuaian dengan kebakaran membabitkan kawasan hutan paya gambut.

"Sejak 13 Mei kebakaran sudah menjejaskan 27 hektar dan sehingga hari ini masih berbaki empat hingga lima hektar yang masih belum dipadam.

"Secara umum kebakaran dapat dikawal dalam tempoh beberapa hari sahaja dan disebabkan kebakaran di kawasan paya gambut menyukarkan pemadaman bara-bara dan tunggul kayu.

"Konsep yang kita gunakan ialah "Total flooding" untuk membanjirkan semua kawasan supaya kebakaran dapat dipadam sepenuhnya," katanya.

Konsep "Total flooding" digunakan untuk memadam kebakaran sepenuhnya

Beliau berkata, sehingga kini lebih 100 anggota bomba dari seluruh balai dikerah dalam tempoh 24 jam.

"Kita kumpulkan mereka untuk berada dan bermalam di sini.

"Disebabkan pada bulan puasa, operasi dilakukan seawal pagi bermula jam 6.30 pagi hinggalah jam 2.00 petang.

"Selepas itu, pemadaman diteruskan seperti biasa dengan membiarkan kawasan banjir dan hanya beberapa pegawai akan memantau, "katanya.

Operasi dijangka berterusan dalam tempoh seminggu lagi atau sehingga kebakaran padam sepenuhnya.



[ Back ] [ Print Friendly ]