Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: Kerjasama erat pulih Hutan Paya Gambut
Date: 09-Jul-2018
Category: Malaysia
Source/Author: Selangorkini
Description: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) giat menjalin kerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan komuniti setempat, sebagai langkah pemulihan serta pemeliharaan Hutan Paya Gambut (HPG) secara lebih komprehensif.

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

TANJONG KARANG, 9 JULAI: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) giat menjalin kerjasama dengan Global Environment Centre (GEC) dan komuniti setempat, sebagai langkah pemulihan serta pemeliharaan Hutan Paya Gambut (HPG) secara lebih komprehensif.

Pengarahnya, Dato’ Dr Puat Dahalan berkata, ia selaras hasrat memperkenal dan mempromosikan hutan itu yang memiliki keunikan serta nilai pemuliharaan tinggi.

Katanya, HPG dilihat berpotensi dijadikan kawasan rekreasi dan eko pelancongan untuk pembangunan sosio-ekonomi tempatan serta negeri ini.

“HPG bersifat produktif, baik dari segi ekosistem dan peranannya kerana menjadi sumber bekalan air utama bagi kegunaan domestik.

“Ia berfungsi kepada projek barat laut Selangor yang merupakan kawasan pertanian sawah padi di dua daerah membabitkan Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Bukan itu sahaja, malahan turut bertindak sebagai habitat bagi pelbagai spesies hidupan akuatik terutama ikan, udang dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Penutup Bengkel Penglibatan Komuniti Dalam Program Pemuliharaan Hutan Paya Gambut Selangor dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, di Agrotourism Homestay Sg Sireh, di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 60 ahli pihak berkepentingan membabitkan lebih 20 agensi badan bukan kerajaan turut serta dalam bengkel itu.

Antara pengisian program, termasuk sesi taklimat Pemulihan Hutan Gambut, perkongsian aktiviti pengurusan sumber bersama komuniti setempat dan perbincangan secara berkumpulan.

Pada masa sama, Puat berkata, melalui bengkel berkenaan, perancangan pengurusan dan pembangunan sumber hutan akan dapat direncana dengan baik selaras kepesatan pembangunan Selangor.

“Perancangan jabatan bagi pemuliharaan hutan ini juga menjadi mudah dan efektif,” katanya.



[ Back ] [ Print Friendly ]