Home | Sitemap | Login

   

Peatland News

Title: KEBAKARAN TANAH GAMBUT TERKAWAL
Date: 13-Aug-2018
Category: Peat fire - Malaysia
Source/Author: Utusan Borneo (Sarawak)
Description: Kebakaran tanah gambut di daerah Daro kini terkawal dengan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Tanjung Manis giat membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

KUCHING: Kebakaran tanah gambut di daerah Daro kini terkawal dengan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Tanjung Manis giat membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan semalam, Pegawai Daerah Daro Abang Mohamad Abang Turki berkata, kebakaran tanah gambut di kawasan itu sudah terkawal sejak kelmarin dan JBPM Tanjung Manis melakukan yang terbaik untuk memastikan api di bahagian bawah tanah tidak merebak ke kawasan berhampiran.

Mohamad berkata, kebakaran bermula dari plot nanas bersebelahan yang dimiliki penduduk tempatan sambil menambah bahawa kakitangan bomba turut menggali parit di tapak yang terjejas sebagai langkah pencegahan kebakaran.

Bagaimanapun beliau berkata, kaedah terbaik adalah dengan mencurah atau menyembur banyak air di tapak yang terjejas untuk memadam kebakaran bawah tanah sepenuhnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Shafiee Ahmad yang melawat kawasan terjejas telah mendermakan pam air kepada pasukan bomba sukarela untuk membantu mereka menangani kebakaran di kawasan Matu Daro.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi berkata, pembinaan JBPM baharu di Daro dijangka siap pada minggu kedua September memandangkan ia sedikit terlewat daripada jadual asal.

Katanya projek bernilai RM6.33 juta itu sepatutnya siap dalam tempoh 20 bulan dari tarikh pembinaannya dari 11 Januari 2017.



[ Back ] [ Print Friendly ]